![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj0AKKlkp95_XM2SNIIZ_vDhCtQc_LyZhPP2NgIHF_UE1sFQayDKtAGRiVCSEqYYrZNqP5U7MQpoDE5BLoaX7B3I0e6NKAzVgVFdyoXVWTtIjpBxiWsAL-Oe1WoLd5eqEipOb7vXvWu5ucd/s320/Tips+Berjimat+Ketika+Pergi+Melancong.jpg)
Info Dan Tips Berjimat Ketika Pergi Melancong | Percutian atau
melancong merupakan aktiviti untuk merehatkan diri dan minda setelah
penat bekerja. Untuk melancong mahupun pergi bercuti, anda perlulah
melakukan pelbagai perancangan, termasuk persiapan belanjawan agar tidak
berlaku pembaziran dan memastikan percutian anda berjalan dengan
lancar.
Perancangan kewangan yang rapi dan teliti sangat penting bagi
mengelakkan kekusutan fikiran setelah pulang bercuti. Berikut adalah
beberapa tip yang boleh diamalkan jika anda merancang untuk melancong
atau bercuti, tidak kira di dalam negeri mahupun di luar negara.
Menabung
Mempunyai tabungan yang mencukupi sangat penting untuk bercuti. Jika
anda mahu merancang untuk bercuti, mula menabung seawal mungkin.
Asingkan duit persiapan percutian ke dalam tabung khas. Disiplinkan diri
anda dan terus fokus pada perancangan anda.
Pakej promosi
Apabila memilih untuk bercuti di luar negara, pilih negara yang
mengadakan promosi pelancongan. Tanya ejen pelancongan tempatan. Selidik
terlebih dahulu tempat-tempat menarik di sesebuah negara, supaya
percutian anda diisi dengan aktiviti dan pemandangan yang memberikan
kepuasan percutian yang maksimum. Biasanya menjelang musim sejuk, negara
di Eropah giat mengadakan promosi pelancongan.
Perancangan percutian
Sebelum melancong dan bercuti, anda perlu membuat persiapan diri dan
minda dengan perancangan yang rapi dan teliti. Tentukan dengan betul
negara, kota atau tempat peranginan yang sesuai sepanjang tempoh
percutian anda.
Buatlah pendaftaran di tempat yang akan anda kunjungi. Untuk menjimatkan
tenaga, perbelanjaan dan masa, rancang untuk mengunjungi lokasi menarik
berhampiran dalam sehari. Melalui perancangan itu, anda boleh
mengetahui jenis pengangkutan ke lokasi pilihan dan bayaran tambang.
Bajet semasa bercuti
Sediakan anggaran perbelanjaan harian semasa anda bercuti, termasuk kos
penginapan, makan, pengangkutan, dan cenderamata yang akan dibeli.
Anggaran perbelanjaan semasa bercuti adalah satu langkah wajib bagi
mengawal perbelanjaan anda semasa bercuti, terutama jika anda bercuti di
luar negara.
Apabila bercuti ke luar negara, anda juga haruslah mengetahui kadar
pertukaran wang negara yang ingin dilawati supaya percutian tersebut
bersesuaian dengan anggaran perbelanjaan anda. Ini juga penting bagi
mengelakkan anda tertipu semasa menukar wang. Mengetahui kadar
pertukaran wang asing memudahkan perancangan perbelanjaan, terutama
ketika membeli-belah.
Tempahan awal
Industri pelancongan banyak bergantung kepada keadaan ekonomi sesebuah
negara serta permintaan pelancong tempatan atau asing. Oleh itu, adalah
lebih baik jika anda menempah tiket penerbangan atau tiket bas lebih
awal, bagi mendapatkan harga yang murah. Tempahan saat akhir adalah
sangat mahal dan merugikan terutama ketika musim perayaan dan cuti
sekolah. Begitu juga dengan tempahan penginapan. Anda juga haruslah
membuat tempahan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan atau sebarang
masalah semasa percutian anda.
Bercuti bersama anak-anak
Jika bercuti bersama anak-anak, pastikan persiapan makanan dan
kelengkapan mereka yang lain. Jika tempat yang ingin dituju menyediakan
kelengkapan dan makanan yang bersesuaian untuk anak-anak anda, pastikan
anda memasukkan keperluan perbelanjaan ini dalam anggaran perbelanjaan
percutian anda. Jika anda lebih selesa untuk membawa semua kelengkapan
anak-anak anda sendiri semasa bercuti, pastikan anda membawa kelengkapan
yang secukupnya dan harus mempersiapkan diri dan minda anda untuk
lebihan tenaga dan perhatian yang diperlukan untuk mengawasi bagasi yang
banyak. Di sini, perancangan yang rapi juga memainkan peranan yang
penting.
Peta
Sebaik sahaja anda sampai ke destinasi percutian anda, pastikan anda
membeli peta tempat tersebut. Ini akan memudahkan anda untuk merancang
jenis pengangkutan yang sesuai untuk pergi melawat tempat-tempat menarik
yang telah anda tetapkan sebelumnya.
Pengangkutan
Dapatkan maklumat yang mencukupi mengenai tempat atau negara yang ingin
dilawati supaya lebih selesa dan mudah bergerak serta merancang aktiviti
dan tempat yang bakal dilawati. Pilih pengangkutan yang paling murah
serta pemandu pelancong yang tahu mengenai selok-belok kawasan percutian
tersebut bagi mengelakkan anda daripada ditipu ataupun tersesat.
Apabila anda bercuti di dalam kumpulan atau beramai-ramai, anda
digalakkan menggunakan perkhidmatan teksi kerana ia lebih murah
berbanding bas atau kereta. Justeru, anggaran perbelanjaan percutian
anda dapat diringankan kerana berkongsi dan dibahagikan secara adil
beramai-ramai.
Sarapan percuma
Manfaatkan sarapan percuma yang disediakan oleh pihak hotel dan makan
hingga kenyang. Jika anda bercuti di Eropah, makanan di sana adalah
mahal. Dengan memanfaatkan sarapan yang disediakan di hotel, anda boleh
mengurangkan lagi perbelanjaan anda.
Ole-ole/ buah tangan
Buat penyelidikan di internet atau dalam kalangan rakan atau keluarga
yang pernah berkunjung ke tempat percutian yang anda rancangkan.
Dapatkan maklumat tentang kawasan yang menjual buah tangan yang murah.
Senaraikan juga semua nama ahli keluarga dan rakan supaya anda tidak
membeli buah tangan secara berlebihan. Senarai ini membantu anda
berbelanja dengan bijak dan secara adil dan saksama.
Dana Kecemasan
Simpan 20 peratus daripada anggaran perbelanjaan percutian anda untuk
dana kecemasan. Dana ini amat berguna jika berlakunya sebarang perkara
yang tidak disangka seperti jatuh sakit dan memerlukan rawatan hospital.
Dana ini juga membantu anda untuk menampung perbelanjaan anda sekiranya
anda telah terlebih belanja daripada anggaran perbelanjaan anda.
Penggunaan wang tunai
Sebaik mungkin cuba gunakan wang tunai untuk membayar perbelanjaan,
terutama apabila bercuti di luar negara. Anda akan dikenakan caj
perkhidmatan atau faedah yang tinggi jika menggunakan kad kredit.
No comments:
Post a Comment